Traqkid kesan lokasi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Berita baik untuk semua ibubapa.

Satu alat pengesan kanak-kanak berasaskan telefon bimbit, Traqkid, diperkenalkan hari ini, yang membantu ibu bapa memantau pergerakan dan kedudukan anak mereka.

Untuk pengguna iPhone, anda boleh mendownloadnya melalui link ini

Alat berkenaan yang dibangunkan sejak enam bulan lalu adalah sebahagian daripada penambahbaikan Program Kepolisan Komuniti.

Pengerusi Lembaga Penasihat TraqKid, Tan Sri Musa Hassan, berkata aplikasi itu dapat membantu ibu bapa mengetahui lokasi anak secara proaktif serta membolehkan mereka mendapat bantuan dari pusat panggilan TraqKid dan anggota Program Kepolisan Komuniti jika berlaku sebarang kecemasan.

“Sistem TraqKid berfungsi menerusi kad SIM U Mobile, yang dilengkapi dengan teknologi perkhidmatan lokasi.

“Penggunaannya sangat mudah dan boleh dilakukan menerusi telefon bimbit atau sebarang alat GSM yang menjadi hosnya.

“Bukan sahaja membantu kanak-kanak, malah juga warga emas yang mengalami dimensia (nyanyuk) atau ahli keluarga yang kurang upaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran aplikasi itu oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Knightsbridge Resources, Kuan Chee Heng dan Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee.

TraqKid boleh didapati menerusi tempahan, mulai hari ini dan langganan bermula pada harga RM58 sebulan bersama U Mobile.

Sementara itu, Rohani berkata, seramai 723 kanak-kanak dilaporkan hilang sepanjang tempoh enam bulan pertama, tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan remaja wanita berusia antara 13 tahun dan 15 tahun.

“Sebanyak 345 kes sudah berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam proses pencarian.

“Antara kes kehilangan yang dilaporkan ditemui semula di pusat siber atau di rumah kawan.

“Jumlah ini semakin meningkat dan membimbangkan, secara purata dalam satu hari empat kanak-kanak dilaporkan hiang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Fatimah Abd Hamid, berkata ibu bapa yang melaporkan kehilangan anak mereka perlu melaporkan kembali kepada pihak berkuasa selepas anak mereka ditemui.

“Ini bagi membantu pihak polis mengklasifikasi sebagai selesai. Antara punca peningkatan statistik adalah disebabkan sikap ibu bapa yang tidak melaporkan semula penemuan anak masing-masing menyebabkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Polis tidak pernah menutup kes orang hilang walaupun membabitkan tempoh yang panjang, namun kerjasama orang ramai sangat penting bagi memudahkan siasatan dijalankan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

×

Cart

Ferry Modal oceanWP for Elementor Page Builder