Gadis Cina Ini Kekok Berbahasa Mandarin, Lebih Selesa Guna Loghat Kelantan

Dilahirkan dalam persekitaran masyarakat Melayu, gadis berketurunan Cina ini kekok apabila bertutur dalam bahasa Mandarin.

Bagi Ong Mun Yew, 25, dari Manek Urai Lama, dia hanya faham bila rakan mahu pun saudara mara bercakap bahasa Mandarin tapi tak mampu untuk bertutur.

Dia yang mesra dipanggil Ayu mengakui fasih bercakap dialek Kelantan kerana dibesarkan dalam komuniti Melayu.

Menurutnya, dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, hanya dia dan adik-adiknya berketurunan Cina di sekolah.

“Di sekolah, kami banyak menggunakan dialek Kelantan, sementara di rumah kami campur antara dialek Kelantan serta Hokkien,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Manek Urai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai ini.

Katanya, walaupun kurang fasih berbahasa ibundanya, dia berusaha belajar dari rakan dan saudara maranya.

“Setiap kali berkomunikasi dalam bahasa Mandarin ,saya ambil masa agak lama untuk membalasnya

“Adik saya boleh berbahasa Mandarin, jadi sekarang saya mengambil inisiatif untuk belajar dengannya,” katanya yang bertugas di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kuala Krai.

Eksekutif Pemasaran PTPTN Cawangan Kuala Krai ini juga memberitahu, disebabkan lahir dalam perkampungan Melayu, dia tidak kekok untuk berbaju kurung termasuk ketika bertugas.

Kebolehannya bercakap dialek Kelantan dengan fasih dan memakai baju kurung ketika bertugas juga menyebabkan ramai yang keliru dengan latar belakangnya.

“Malah fasih dalam dialek Kelantan banyak membantu saya ketika bertugas,” kata gadis campuran Cina dan Siam ini.

Keluarga gemar masakan Melayu

Katanya lagi, kebanyakan masyarakat Cina gemarkan masakan dikukus tetapi berlainan dengan keluarganya kerana menyukai masakan masyarakat Melayu dan Cina.

“Gulai, tempoyak , budu, ulam serta beberapa makanan lain sudah tidak asing bagi kami.

“Emak akan pastikan makanan Melayu dan Cina ada setiap kali waktu makan,” katanya.

Anak sulung dari lima beradik ini lagi berkata, keluarga turut gembira hidup dalam kelompok Melayu kerana saling hormat-menghormati.

Bagaimanapun, katanya, bila musim Tahun Baharu Cina, suasana tidaklah semeriah seperti masyarakat Cina lain kerana kami sekeluarga sahaja tinggal di sini.

“Sebaliknya sambutan lebih meriah jika kami balik beraya kampung di Pasir Mas kerana di sana ramai saudara mara,” katanya.

Ramai Peranakan Cina di Kelantan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Chu E Liang berkata, kebanyakan Cina yang tinggal di kawasan kampung di Kelantan mengamalkan budaya hidup masyarakat Melayu dan Cina dikenali sebagai Peranakan Cina.

Menurutnya, beberapa kampung di Kuala Krai mempunyai penempatan Peranakan Cina seperti di Batu Jong dan Guchil.

Katanya, kebanyakan Peranakan Cina memakai pakaian masyarakat Melayu seperti berbaju kurung serta memakai kain sarung.

“Peranakan Cina Kelantan juga makan ikut budaya Melayu, bagaimanapun apabila tiba hari kebesaran masyarakat Cina, mereka akan mengikut budaya Cina.

“Contohnya sambutan Tahun Baru Cina serta hari cuci kubur,” katanya.

Beliau berkata, Peranakan Cina kebiasaannya mempunyai kulit seakan masyarakat Melayu sementara wajah mereka juga seakan wajah orang Melayu.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan PTPTN Cawangan Kuala Krai, Che Azman Che Zan mengakui Ayu fasih berbahasa Melayu dan dialek Kelantan sekali gus memudahkan dia berurusan dengan pelanggan.

Menurutnya, Ayu juga seorang kakitangan baharu yang suka belajar dan senang diberi tunjuk ajar.

“Ayu juga seorang kakitangan yang setiap penyampaiannya begitu berkesan dan seorang yang mudah tersenyum,” katanya.

Sumber : Sinar

Leave a Reply

×
×

Cart

Ferry Modal oceanWP for Elementor Page Builder