Home » Trending

Category: Trending

5 sebab JDT menang, 5 punca Kedah kalah

KUALA LUMPUR: Final Piala Malaysia berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul piala berprestij itu buat kali pertama, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan domestik buat skuad Harimau Selatan itu.

Berikut adalah lima sebab JDT berjaya muncul juara:

1) Taktikal menekan lawan di garisan tinggi.

JDT memulakan aksi dengan penuh bertenaga apabila melakukan tekanan dengan cepat setiap kali pemain Kedah mendapat bola dan meminimumkan pegangan bola lawan, sekali gus mengurangkan ruang yang boleh digunakan pemain lawan untuk mencipta gerakan menyerang.

2) Permainan pantas ketika mengatur serangan.

Senjata utama JDT adalah kemampuan pemain mereka menggerakkan bola untuk menyerang dengan pantas dan kebanyakan serangan balas yang dilancarkan berupaya mencemaskan benteng pertahanan Kedah

3) Momentum gol awal.

Gol seawal minit kedua yang disumbangkan Aidil Zafuan Abd Radzak meletakkan haluan perlawanan ke arah JDT dan menyebabkan Kedah bergelut untuk kembali memberi saingan pada perlawanan terbabit.

4) Bijak manipulasi keadaan.

Selepas beroleh gol awal, JDT bijak memanfaatkan struktur permainan Kedah yang masih belum menemui rentak apabila memperagakan aksi menyerang habis-habisan dan beroleh beberapa peluang keemasan namun, percubaan gol mereka digagalkan Ifwat Akmal Che Kassim.

5) Disiplin pertahanan JDT yang cemerlang.

Kombinasi Aidil-Fadhli Shas di awal permainan sebelum Junior menggantikan Aidil nyata sukar untuk ditembusi jentera serangan, dengan Izham Tarmizi Roslan tidak perlu bekerja terlalu keras untuk menyelamatkan percubaan Kedah.

Lima sebab Kedah gagal menyaingi JDT:

1) Tuah tidak menyebelahi Kedah.

Kedah kurang menguji gawang JDT, namun lawan seharusnya menarik nafas lega apabila dua percubaan Baddrol Bakhtiar terkena tiang dan palang sekali gus menyelamatkan pintu gol mereka.

2) Pelan kedua Kedah mudah dipatahkan JDT

Tekanan di garisan tinggi JDT memaksa Kedah menukar corak menyerang dan memilih untuk melancarkan hantaran jauh, namun kebanyakan hantaran panjang Kedah mudah dipintas pemain JDT.

3) Gagal menemui rentak dengan cepat.

Bagaikan ada yang tidak kena dengan Kedah, mereka gagal menemui rentak dengan cepat apabila bergelut untuk membuat gerakan menyerang dan tiada bentuk serangan yang jelas mampu dijelmakan Kedah pada aksi terbabit.

4) Kesilapan sendiri.

Banyak kesilapan yang dilakukan pemain Kedah pada aksi ini, antaranya tidak menutup ruang dengan baik, tidak memberi tekanan kepada pemain lawan dan mereka dihukum atas kesalahan mereka sendiri.

5) Pemain simpanan tidak memberi impak.

Selepas ketinggalan dua gol, Kedah melakukan tiga pertukaran dan membawa masuk pemain muda yang masih segar dan memiliki kepantasan, namun kemasukan mereka tidak membantu pasukan Kedah untuk sekurang-kurangnya meledak gol sagu hati.

 

Sumber: Berita Harian

Biodata Dr.Muhammed Abdul Khalid : Pakar Ekonomi Berjiwa Rakyat

Nama Dr.Muhammed Abdul Khalid tiba-tiba meniti di bibir ramai warga Malaysia selepas pandangan beliau dalam sebuah rancangan wawancara yang disiarkan di TV3 pada hujung Oktober lalu.

Dengan loghat utara yang pekat, Dr.Muhammed Abdul Khalid menjawab soalan pertama panel dengan penerangan yang cukup mudah, sesuatu yang menjadi identiti beliau sekian lama. Walaupun bergelar seorang akademik yang mempunyai pengetahuan tinggi, kelebihan Dr.Muhammed Abdul Khalid yang dikagumi adalah keupayaan beliau menafsirkan sesuatu dalam cara yang mudah difahami tanpa memerlukan penggunaan perkataan bersifat ‘mumbo-jumbo’ yang kerap mengangkiti ramai cendekiawan di negara kita.

Ramai pasti mengenali beliau sebagai penulis dan penyelidik kepada buku ‘The Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.’ Buku tersebut secara konsisten terletak dalam senarai buku terlaris penjual-penjual buku dan kandungan buku tersebut ditulis sama seperti bagaimana Dr.Muhammed Abdul Khalid menerangkan tentang sesuatu perkara.

Anak kelahiran Pulau Pinang, Dr.Muhammed Abdul Khalid adalah seorang ahli ekonomi Melayu yang boleh dikatakan muda. Belajar di Universiti of Southern California dalam jurusan kewangan, beliau melanjutkan pengajian peirngkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi.

Selepas itu, beliau menambah koleksi kelulusan sarjana beliau dengan melanjutkan pengajian di Paris Institute of Political Studies dalam bidang Hubungan Awam sebelum bergelar Doktor Falsafah melalui Institusi yang sama pada tahun 2010.

Kajian beliau sejak dulu dapat disimpulkan dalam 3 isu besar yang menyebabkan ketidak seimbangan ekonomi di Malaysia.

Yang pertama, berlakunya diskriminasi kaum terhadap graduan bangsa Melayu walaupun graduan Melayu itu mempunyai kadar kelayakan yang sama dengan graduan bangsa lain. Diskriminasi yang berlaku datang dalam bentuk peluang mendapatkan pekerjaan, kadar gaji serta layanan di tempat kerja dan ini menyukarkan graduan Melayu mengumpulkan aset.

Kedua, perbezaan jurang di antara harta warisan atau harta pusaka yang diterima, cukup berbeza di antara bangsa ke bangsa di Malaysia. Kajian beliau membuktikan segelintir ibu bapa kaum Cina mempunyai keupayaan meninggalkan aset yang jauh lebih besar nilainya berbanding ibu bapa kaum lain, yang membolehkan individu berbangsa Cina mempunyai kelebihan dalam persaingan ekonomi.

Yang terakhir dan kerap kali menjadi kritikan beliau, adalah kegagalan pihak pemegang amanah berbangsa Melayu, yang tidak mengendahkan status sosioekonomi bangsa Melayu baik dari segi politik mahupun pengurusan kerajaan. Menurut kajian beliau, pemimpin-pemimpin politik berbangsa Melayu terlalu cenderung untuk menghabiskan masa dengan berpolitik berbanding membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi orang Melayu.

Berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris dan Perancis dengan lancar. Kini beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ahli Ekonomi kepada DM Analytics, sebuah badan yang bertanggungjawab mengkaji realiti sebenar kesan dasar ekonomi pada golongan peringkat bawahan. Turut bersama beliau adalah dua orang lagi ahli ekonomi terkenal Malaysia, Tan Sri Professor Kamal Salih dan Dr. Muhammad Ikmal Mohd. Said.

Pengalaman yang beliau perolehi juga bukan calang-calang. Beliau pernah berkhidmat sebagai Juruanalisis bersama Institut of Strategic and International Studies (ISIS) kemudian berhijrah ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengarah Ekonomi. Kejayaan beliau di situ membolehkan beliau dipancing oleh Khazanah Research Institute sebagai Pengarah Penyelidikan sebelum mengasaskan DM Analytics ketika ini.

Dr. Muhammed Abdul Khalid banyak memberikan ceramah dan pandangan yang membuatkan banyak pihak tidak senang duduk, bukan sekadar pihak pemerintah, malahan kepada kumpulan individu dan peniaga yang kerap mengambil kesempatan ke atas ketidak seimbangan ekonomi ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mendalami pandangan Dr. Muhammed Abdul Khalid dengan lebih halus, selain daripada buku karangan beliau, anda juga boleh memuat turun dua tesis beliau yang bertajuk ‘Discrimination of high degrees: race and graduate hiring in Malaysia’ yang telah diterbitkan dalam Journal of Asia Pacific Economic pada tahun 2016 dan ‘Household wealth in Malaysia: Composition and inequality among ethnic groups’ yang terbit dalam Jurnal Ekonomi Malaysia pada tahun 2011. Kami kongsikan pautan di bawah.

Untuk yang berminat membaca lebih lanjut  buku ‘The Colours of Inequality : Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia’, kami sertakan pautan ke  Google Books. Dalam carian kami, tiada ebook dikeluarkan. Ia boleh juga didapati di Amazon dan MPH

Berikut adalah video berkenaan pra-bajet 2018 yang tular baru-baru ini dengan kelantangan Dr. Muhammad Khalid

Rujukan

Jurnal IKMAS UKM

Income Inequality and Poverty in Malaysia

Blog Dr.Muhammed Abdul Khalid