Home » Bisnes/Servis

Category: Bisnes/Servis

Lelaki In Kongsi Pengalaman & Perbezaan Antara Bekerja di Kilang Jepun & Amerika

Jom baca tulisanTuan Monier yang mempunyai pengalaman luas bekerja dalam sektor perkilangan. Selain itu, beliau juga sangat aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Tuan Monier posing di kebun getah

 

Sementara menunggu di luar bilik doktor bawa anak datang follow up, saja nak tulis beberapa perkara.

1. Masuk tahun ini dah 28 tahun rasanya saya bergelumang di sektor industri, macam2 jawatan dan beberapa buah kilang dah saya kerja; ada kilang Amerika dan ada juga kilang Jepun dan pernah juga jadi Engineer in charge of kilang Sub Con kena pi jaga dan audit kilang2 Sub Con milik syarikat2 persendirian.

2. Kalau org tanya saya ada beza ka kilang Amerika kilang Jepun kilang China/Taiwan mana nu, YA jawapannya memang ada beza.

3. Saya kerja dgn syarikat Hewlett Packard di Santa Clara, California waktu di US dulu; wpun ditawarkan utk kerja tetap di sana tetapi saya memilih utk pulang bekerja di kilang kami di Bayan Lepas P.Pinang.

Di Amerika, saya bekerja dlm environment yg mana saya seorang saja org Malaysia org Melayu, yg lain semua Mat Salleh dan ada juga golongan eksekutif professional dari merata pelusuk dunia.

Kerja kilang Amerika: hang kena cakap banyak, dlm meeting kena berani cakap, kena berani bagi idea kena berani ulas idea org lain, kena bijak dan cekap berhujjah. Kalau diam dan senyap ja wpun ada PhD bergulung2, dlm budaya kilang Amerika itu melambangkan kelemahan kita, sign of our weakness sebab tak mampu nak menyuntik dan menyumbang idea. Konsepnya tak guna ada ILMU banyak tapi tak pandai nak cerita kat orang.

4. Selepas kerja di dua kilang Amerika, satu di Bayan Lepas dan satu lagi di Perai, saya lompat pi kilang Jepun. Saya pernah ke Jepun selama 5 bulan untuk Training dgn Engineer2 mereka di sana, dan selepas kembali ke Malaysia banyak kali juga saya berulang alik ke sana, Tokyo Yamanashi dan Matsumoto atas urusan kerja.

Apa beza kilang Jepun dan kilang Amerika?

Culture Shock juga saya bila mula2 masuk kilang Jepun dulu, kita yg duk biasa cakap banyak jenis kerja kilang Amerika ini tiba2 nak kena duduk diam, kena lebih kpd buat kerja drpd bercakap.

Dlm environment kerja dgn Jepun kalau siapa cakap banyak terutama dlm bilik meeting dikira “sign of our weakness” melambangkan kelemahan kita sebab tak mampu bergerak sebagai satu pasukan.

Di kilang Jepun biasanya sebelum masuk bilik meeting mereka akan bincang sesama mereka dah, apa yg dibentang dlm meeting adalah perkara2 yg sudah dipersetujui bersama. Maka jgn terkejut kalau 1st time join kilang Jepun masuk bilik meeting dgn boss2 Jepun, org tak bertengkar dan tak tanya banyak soalan.

Kalau kita yg jenis suka cakap banyak mcm saya, bila masuk meeting dgn Jepun2 ini suka tanya macam2 kita akan dilihat sebagai bukan team player sebab tak pandai bekerja dlm satu pasukan. Awat tak settle sebelum meeting, awat masuk bilik meeting baru nak bising dll.

Makna kata kerja kilang Jepun kena banyak bekerja dan kurang bercakap, terbalik dgn kilang Amerika.

5. Kilang China dan Taiwan?
Hat ini kita rajin cakap ka rajin kerja ka ianya terpulang kpd Tuan punya kilang tu. Mereka adalah tuan punya, sebarang arahan mereka adalah final.

6. Apa pula persamaan antara semua kilang2 itu?

Persamaannya satu sahaja, kita yg bekerja dgn syarikat2 mereka ini mereka bayar GAJI kita dgn membeli “MASA” kita.

Maksudnya kita jual masa kita kpd mereka utk bayar gaji kita!

Maka itu sementara kita semua ada kerja ini, pakat kerjalah baik-baik. Ramai lagi orang yg tak ada kerja atau pun tgh cari kerja kat luar nu. Bersyukurlah dgn rezeki yg ada ini, insyaallah Allah permudahkan.

Saja nak kongsi

Tkasih

 

Sumber: Tuan Monier

Bagaimana Lelaki Ini Kena ‘sound direct’ dari Allah Masa Membaca Surah Al Waqiah

Saya nak ceritakan apa yang berlaku pada saya di satu pagi selepas subuh sepanjang 11 tahun bergelar peniaga. Niat pada awal berniaga adalah mahu jadi kaya. Biasalah sebagai budak mentah baru nak up masa mula2 dahulu. Hanya ikut ikutan. Apa yang dilihat cara jadi kaya itu yang akan diusaha sampai jadi seperti yang dicita cita. Namun perjalanan bisnes yang tidak mudah dan dihamparkan pelbagai dugaan dan ujian itu semakin mematangkan akal fikiran saya sendiri.

Apa yang saya nak kongsikan buat admin sebagai niat dakwah kepada sesama muslim agar pesan memesan serta ingat mengingati. Supaya ramai yang mendapat petunjuk untuk kembali membetulkan niat sebagai hamba di atas dunia yang fana ini.

Kisah yang berlaku kat saya secara tiba2 seakan peringatan secara ‘sound direct‘ dari Allah.

Macam ni ceritanya. Saya seorang peniaga di ibu kota. Secara jujurnya saya sangat bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan kepada saya dan seisi keluarga. Dapat menunaikan umrah bersama family saban tahun. Melancong ke destinasi percutian idaman dan pelbagai lagi nikmat di atas dunia ini. Alhamdulillah.

Tuan Az Zubair dan famili. Sumber: FB Tuan Az Zubair

Saya suka membaca surah Al Waqiah selepas solat. Saya tidak mengira waktu solat yang mana asalkan ada masa terluang membaca serta memahami tafsirannya. Zaman sekarang sudah banyak app Al Quran. Semudah download secara percuma dan kemudian terus boleh membaca serta memahami tafsirannya. Mudah dan senang dibaca di mana sahaja. Sepanjang hidup saya, memang jadi kelaziman membaca Al Quran, pada suatu pagi tu, seperti biasa saya membaca surah waqiah ini. Namun tiba tiba saya tak dapat membaca secara betul di ayat 46 surah Al Waqiah. Saya ulang ulang baca berkali kali tetapi sama juga sebutan saya tadi. Bunyi hurufnya tidak jelas. Tidak fasih seperti biasa. Saya tak dapat menyebut secara jelas. Lidah seakan berlipat. Bergulung apabila membaca ayat tersebut.

Surah Al Waqiah

Terdetik di dalam hati ” kenapa aku tak dapat nak sebut ni.. selalunya baca lancar jer takda masalah. Pagi ni lain sikit. Mungkin ada pengajaran di dalam ayat ini. Sekejap lagi mahu lihat tafsiran ayat 46 ini. Entah apa lah maksud ayat ini sampai tak boleh sebut” lalu saya membaca hingga habis surah ini.

Setelah selesai menghabiskan surah kegemaran saya tu, (memang rasa best sangat bila dapat baca surah ni. Sejak dari sekolah lagi bila baca surah ni, memang lain macam rezeki yang datang. Nikmat dia takleh nak samakan dengan apa2 pun. Kena alami sendiri baru boleh faham) saya pun buka tafsirnya.

ALLAHUAKBAR!!!

Terkejut saya apabila membaca tafsirannya berbunyi “Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar” tafsiran ayat 46 tadi

Kerana selama saya menyusuri ke hidupan ini ada naik turunnya. Ketika saya bersenang lenang dengan rezeki yang Allah bagi, kadangkala terbabas melakukan dosa dosa besar. Sedangkan ia sangat dimurkai oleh Allah. Tinggal solat fardhu 5 waktu juga salah satu dosa yang besar. Dan dosa dosa besar yang lain rasanya semua kita pun sudah sedia maklum. Ayat 46 ini ditengah tengah penceritaan Allah tentang ‘golongan’ ahli neraka di akhirat nanti. Cuba tengok ayat 45 Allah SWT berfirman:

اِنَّهُمْ كَانُوْا قَبْلَ ذٰلِكَ مُتْرَفِيْنَ
innahum kaanuu qobla zaalika mutrofiin

“Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).”

(QS. Al-Waqi’ah 56: Ayat 45)

Jadi ter scan diri sendiri adakah aku merupakan calon ahli neraka? Oh semestinya tidak Ya Tuhanku. Aku adalah seorang muslim. Aku beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Terus tersedar dari lamunan yang panjang. Dan akan berusaha menjadi insan yang bertaqwa pada Mu Ya Rabb.

Kekayaan itu tidak salah. Malah dituntut mencari harta dengan berusaha seperti mahu hidup 1000 tahun. Namun tidak pula lupa untuk beribadah seakan mati itu sentiasa membayangi. Mungkin esok hari. Rukun menjadi orang Islam itu kan ada lima kesemuanya. Mengucap, solat 5 waktu, puasa, zakat dan mengerjakan Haji (jika mampu). Tanpa harta bagaimana pula mahu mengeluarkan zakat. Mahu mengerjakan ibadah Haji. Seakan tidak lengkap rukunnya. Namun jika sudah ditakdirkan miskin setelah berusaha sesaya upaya, serahkan pada yang Maha Esa dan Maha Mengetahui.

Saya juga mengharapkan cerita tentang diri saya ni menjadi pengajaran dan asbab kepada kita mendapat hidayah yang berterusan dari tuhan. Saya alu alukan admin share posting jika bermanfaat

Wallahu’alam

Sumber: FB Tuan Az Zubair

Pengasas D’Apple senaraikan kesilapan yang beliau lakukan pada awal bisnes

Tuan Abd Hakim Awang adalah bisnes owner kepada D’Apple Cafe & Restaurant dan D’Apple Frozen Food. Beliau telah mengharungi pelbagai masalah dan kejatuhan dalam bisnes dan kehidupan sehingga berjaya sekarang. Beliau rajin menulis pasal pengalaman besar dan perit jatuh bangun beliau dari awal penglibatan dalam bidang bisnes.

Jom baca yang ni dulu.

Read more

Cara Saya Bayar Hutang PTPTN Bila Berhenti Kerja & Jadi Surirumah

Kalau berhenti kerja, macam mana nak bayar hutang PTPTN?

 

Ada banyak sebab seseorang belum mampu atau terpaksa menangguhkan membayar hutang PTPTN. Mungkin ada fresh graduate yang belum dapat kerja, nak mulakan bisnes sendiri, atau kebanyakan kes wanita pula terpaksa berhenti kerja dan jadi surirumah atas keperluan keluarga (macam sayalah).

Tapi, walau apa pun alasan kita – hutang tetap hutang.

Apabila berhutang, kita wajib bayar balik. Dulu masa berhutang tak pernah nak beringat, sekali dah terkena barulah tahu (macam saya juga).

Sehingga hari ini, sudah hampir 5 tahun saya berhenti kerja. Nak ditakdirkan, hutang PTPTN saya bukannya sedikit. Saya menuntut dalam bidang profesional (arkitek) di sebuah universiti awam dan mengambil pembiayaan penuh PTPTN. Kos pembiayaan bagi bidang ini mencecah RM35,000 bagi 5 tahun pengajian. Maksudnya, sebaik saja saya graduate, selepuk ada hutang RM35,000 yang perlu dilangsaikan kepada PTPTN dan jumlah ini belum lagi termasuk bunga atau kos pentadbiran.

Selepas graduate, saya mula bekerja. Cukuplah untuk menampung belanja harian, bayar hutang PTPTN, menabung untuk kahwin, dan ada lebih sedikit untuk beri kepada mak dan ayah. Tapi bagi seorang perempuan, biasalah, selepas berkahwin keadaan mula menjadi sedikit kompleks.

Semuanya bermula apabila suami saya dapat tawaran mengajar yang ditunggu-tunggu – tapi tak sangka pula kena ‘posting’ di Sarawak. Ketika ini, saya baru lepas bersalin dan sedang dalam tempoh cuti bersalin. Pening juga nak memikirkan bagaimana saya perlu mengatur hidup – sama ada nak teruskan kerja di sini dan ‘bercinta jarak jauh’ sambil uruskan anak sendiri ATAU nak ikut suami ke Sarawak.

Saya tak fikir panjang dan nekad ikut suami ke Sarawak – bukannya Kuching, Miri, atau Bintulu…tapi Betong. Mesti tak pernah dengar, kan?

Kawasan ini agak jauh ke dalam dan lapangan terbang terdekat adalah sejauh 3 jam perjalanan. Tapi bukanlah rumah atas pokok ya. Ada ‘line’ internet , rumah teres dan siaran TV Astro Njoi.

Berbalik pada kisah hutang saya tadi.

Sekarang saya dah berhenti kerja, tak ada pendapatan, dan masih berhutang. Jadi, apa yang perlu dilakukan supaya hutang ini tak menimbun dan menjadikan saya seorang yang kena ‘blacklist’?

#1. Kaji Keadaan Kewangan

 

Pertama sekali, saya nak tahu berapa lama saya boleh bayar habis loan PTPTN tanpa mengharap gaji suami? Tak kisahlah melalui bisnes baru, melalui gaji simpanan terdahulu, ihsan suami, dan sebagainya. Dengan cara ini, baru kita boleh nampak berapa lama kita boleh membayar hutang PTPTN tanpa mencari sebarang sumber pendapatan.

Selepas dikira-kira, hanya dalam 1-2 bulan saja yang mampu saya bayar. Nak harapkan simpanan bukannya banyak mana memandangkan kami berdua baru 2 tahun bekerja. Sebahagian besar simpanan pula dah dibuat belanja untuk majlis perkahwinan. Memang tak ada istilah nak bermewah.

Masa berpindah, kami datang sehelai sepinggang berbekalkan luggage 20 kg. Kereta pula suami pakai kereta lama ayahnya. Kereta ini dibawa ke Sarawak dengan kargo, kami masuk pula rumah kosong yang tak ada perabot. Bayangkanlah betapa adventure-nya akaun kami berdua ketika itu.

#2. Mohon Penangguhan Jika Perlu

Tahu tak, lepas bayar 2-3 tahun, jumlah hutang itu sebenarnya tak bergerak pun sebab yang dibayar habis dekat bunga dan kos pentadbiran. Sedangkan saya dah bayar mengikut jadual pelarasan (masa ini menggunakan sistem konvensional). Patutnya, masa berduit dulu, bayarlah lebih sedikit. Jadi, penting untuk kita update akaun PTPTN ini selalu. Rujuklah laman web PTPTN. Di sana kita boleh tengok berapa bayaran yang telah dibuat dan berapa jumlah bayaran yang tinggal.

Kalau nak minta penangguhan pun boleh. Tapi saya pernah tanya dengan Pegawai PTPTN, adakah bunga dan kos pentadbiran dapat dibekukan kalau kita memohon penangguhan. Dia jawab tak. Sama saja macam kita tak bayar, dan hutang itu pun bertambah. Jadi, buat apa mohon penangguhan? Supaya tak kena blacklist bila dah lama sangat berhenti membuat bayaran.

Oleh kerana saya malas dan kononnya saya boleh bayar balik dalam masa terdekat, saya tak mohon penangguhan.

#3. Strukturkan Peminjaman Semula

Lepas hidup dah agak stabil di Sarawak, suami saya offer’untuk sambung bayarkan hutang PTPTN saya. Tapi saya ‘malu-malu kucing’. Dekat setahun juga saya tak bayar PTPTN. Tapi Alhamdulillah nama saya tak disenarai hitam.

Jadi, saya cuba berunding dengan Pegawai PTPTN melalui Facebook dan lepas itu mereka bagi nombor pegawai melalui WhatsApp. (Kalau ada pertanyaan, tanya saja dekat Facebook mereka. Seingat saya mereka memang sangat responsif. Laju saja menjawab segala pertanyaan. ‘Salute!’)

Pihak PTPTPN mencadangkan saya untuk strukturkan semula peminjaman saya dan tukar kepada Ujrah. Kalau tukar kepada Ujrah ini memang bagus sebab bayaran setiap bulan tetap dan takkan bertambah walaupun ada kejatuhan matawang Ringgit atau sebagainya. Pegawai PTPTN juga akan membantu memaksimakan tempoh pinjaman untuk menetapkan bayaran yang sesuai dengan kemampuan kita setiap bulan.

Kos pentadbiran bagi pinjaman Ujrah adalah lebih rendah dan boleh jimat hingga 47%. Berbanding sistem konvensional yang dulu, awal-awal bayar sedikit, tapi lama-lama akan meningkat. Gerun tengok jumlah bayaran bulanan yang kena dibuat dalam masa 5-10 tahun lagi. Dah macam beli kereta sebiji.

Permohonan Ujrah ini prosesnya tidak sesukar mana. Kalau nak cepat, pergi ke Pejabat PTPTN dan mereka akan bagi Surat Tawaran Ujrah untuk dilengkapkan butirannya. TAPI syarat untuk memohon Ujrah ini, kita perlu melangsaikan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah bayaran yang tertunggak. Apa pun, jangan panik dulu.

#4. Pengeluaran Simpanan KWSP

Sewaktu mempertimbangkan permohonan Ujrah, saya dah beritahu pihak PTPTN siap-siap yang saya tak ada duit sebanyak itu. Jadi, saya diberitahu yang saya boleh memohon pengeluaran KWSP Akaun 2.

PTPTN akan memberi dokumen yang perlu kita bawa ke Pejabat KWSP. Lepas itu, mereka akan masukkan terus amaun pengeluaran KWSP tadi ke dalam Akaun PTPTN kita melalui sistem komputer.

Proses ini berjalan dengan sangat lancar, iaitu dalam masa beberapa minit saja. Dokumen dari KWSP yang dah disahkan tadi perlu diserahkan semula kepada Pegawai PTPTN untuk proses terakhir. Selepas itu, kita pun boleh buat bayaran bulanan seperti biasa.

#5. Rancangkan Pendapatan Tambahan

Kadar bayaran selepas memohon Ujrah adalah sangat berpatutan. Saya yang meminjam RM35,000 tadi cuma perlu membayar RM200 sebulan. Tapi kalau dah namanya surirumah, mana pula nak ‘cekau’ RM200? Tambahan pula, hidup di luar bandar Sarawak ini bukannya mudah kerana kurangnya fasiliti, tiada sanak-saudara, dan peluang pekerjaan yang sangat terhad.

Tapi, benarlah Allah kata kalau kita usaha, insha Allah ada jalannya.

Kebetulan, saya mendapat peluang menjadi pensyarah separuh masa dengan sebuah institusi kerajaan. Walaupun sekadar part time, saya cuba gunakan peluang tersebut untuk memohon pembiayaan ASB melalui CIMB.

Ada bermacam-macam cara untuk tanmbah pendapatan sekarang. Dengan just duduk di depan laptop berinternet juga boleh mendapat pendapatan tambahan. Saya pun ada buat.

#6. Ambil Pembiayaan ASB

Bagi saya, ini adalah ‘simpanan paksa’ saya dan wang persaraan saya. Lagipun, melalui simpanan ASB, kita hanya perlu mempunyai modal simpanan sekurang-kurangnya untuk 1 tahun dengan nilai yang kita mampu. Selepas tempoh itu, kalau tak ada simpanan pun, kita boleh keluarkan dividen (rolling dividend) untuk meneruskan ‘akaun persaraan’ ini sehingga habis tempoh ikatan perjanjian nanti.

Kalau dah malas nak teruskan, kita boleh terminate pembiayaan ASB dan dapatkan sedikit keuntungan selepas tempoh matang. Kalau disiplin, bolehlah dapat sekitar RM50,000 hingga RM200,000 selepas 10-30 tahun dari tarikh pembiayaan (bergantung kepada jumlah pembiayaan yang kita pilih). Mungkin ada yang kata tak untung pun, tapi kalau saya simpan sendiri tak tahulah dapat ke tidak sebanyak itu.

Lepas hampir setahun mengajar, saya kembali menjadi surirumah hinggalah ke hari ini. Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana saya masih mempunyai punca pendapatan di rumah melalui penulisan. Selagi ada duit lebih, saya akan biarkan dividen tersimpan di dalam akaun tanpa disentuh.

Kalau nak ikutkan, duit ‘simpanan paksa’ saya kini boleh membayar separuh daripada jumlah hutang PTPTN tersebut. Tapi, disebabkan jarak pejabat PTPTN yang jauh dan kurangnya bank yang berdekatan, duit tersebut saya peramkan dulu. Manalah tahu PTPTN ada buat promosi bayaran balik, berbaloi juga menunggu untuk bayar lump sum.

Jangan Biarkan Hutang PTPTN Menghantui Anda

Memang ada banyak sebab yang boleh menjadi punca hutang PTPTN kita tertunggak. Walau apa pun, janganlah takut untuk menghadapinya.

Sebaliknya, ambil langkah proaktif dan cuba bertanyakan kepada pihak PTPTN kerana mereka mungkin mempunyai pilihan dan pelan kewangan yang boleh kita usahakan. Rancangkan simpanan dengan baik dan cubalah mencari sumber pendapatan sekadar yang mampu. Sedikit tak mengapa, yang penting berkat. Jangan percaya pada skim cepat kaya atau bisnes yang meragukan.

Saya akui saya tak ada latarbelakang kewangan yang kukuh. Keluarga pun cukup makan saja. Mungkin disebabkan ‘tersadai’ di perantauan ini, ada hikmahnya yang tersendiri yang menjadikan saya ingin berdikari. Saya faham betapa sukarnya seorang wanita yang perlu menjadi surirumah walaupun mempunyai Degree mahupun Master. Bukan setakat kena tahan telinga daripada mulut-mulut orang sekeliling, bahkan sampai satu masa kita mungkin pernah berasa menjadi ‘beban’ kepada suami hingga sanggup ­mengabaikan hutang sendiri.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada sesiapa saja, terutamanya kepada peminjam PTPTN di luar sana. Apa yang dituliskan ini hanyalah melalui pengalaman saya. Saya bukanlah seorang pakar kewangan. Jadi, kalau ada yang lebih berpengalaman dan tahu selok-belok yang lebih menguntungkan, bolehlah kongsikan tipsnya semoga lebih ramai akan dapat manfaatnya.

Tips ini dikongsi oleh Puan Nazurah Hassan.

10 Disiplin Usahawan dari Tuan Norizan Shariff

Tuan Norizan Shariff, ketua pengarah INSKEN selalu berkongsi pendapat dan tips di facebook beliau.  Beliau lebih senang dengan panggilan Nobisha. Saya memang selalu mengikuti beliau.

 

Berikut ada 10 tips kepada usahawan dari beliau.

1. Bangun awal pagi, sebelum masuk waktu Subuh.

2. Fikir yang baik-baik. Doakan kebaikan kepada semua orang. Sekiranya terima WhatsApp buruk tentang orang lain, delete.

3. Tepati waktu. Sekiranya kita akan terlewat (atas apa sebab pun), maklumkan. Tepati janji. Sekiranya ada halangan, maklumkan lebih awal. Usah buatkan orang ternanti-nanti.

4. Sentiasa pandang dan bergerak ke hadapan. Usah ungkit pertolongan masa lalu. Usah riak dengan pencapaian masa lampau. Fokus kepada sasaran.

5. Elakkan berbalah, termasuklah di media sosial. Sekiranya kita ada pendapat yang berbeza, kemukakan secara hormat dan berhemah. Jika ada orang ajak bertumbuk, biarkan dia bertinju dengan angin.

6. Usah perlekeh orang lain. Orang lain mungkin lekeh, kita belum tentu hebat. Usah cuba jadi hebat dengan meremehkan orang lain.

7. Ambil ilmu walaupun orang yang berikan ilmu itu kita nampak “lebih rendah” dari kita. Orang di atas bukit akan nampak orang di bawah itu kecil. Usah lupa, orang di bawah pun nampak orang di atas bukit itu kecil.

8. Sentiasa menjaga kesihatan. Elakkan mengambil makanan atau minuman yang memudaratkan badan. Senaman berterusan.

9. Solat awal waktu. Sebaik-baiknya berjemaah. Kenali dan bina hubungan dengan komuniti. Usahkan biarkan imam mula kenal kita sewaktu dia nak solat jenazah.

10. Tidur awal. Dapatkan tidur secukupnya supaya kita lebih bertenaga dan dapat bangun awal pagi esok.
.